PETALING JAYA – “Kau keluarkanlah si pelaku dari tempat persembunyiannya,” demikian antara doa dimuat naik oleh ibu kepada kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin pada akaun Instagramnya hari ini.
Dalam hantaran terkini, Ismanira Abdul Manaf, 29, berdoa kepada Allah memohon keadilan untuk Zayn Rayyan yang meninggal dunia selepas dibunuh pada Disember tahun lalu.
“Ya Allah, dengan sesungguhnya dan dengan rendah hati, di hari Jumaat yang mulia ini, aku mohon keadilan buat anakku Zayn Rayyan di dunia ini, juga Ya Allah kasihanilah anakku Zayn Rayyan atas apa yang telah menimpanya.
“Kau keluarkanlah si pelaku dari tempat persembunyiannya, kau buatlah si pelaku menyerah diri dan mengaku bersalah. Hadapkanlah si pelaku ke muka pengadilan
“Semoga si pelaku menerima hukuman di dunia ini juga atas apa yang telah dia lakukan ke atas anakku Ya Allah, Amin Ya Rabb Ya Mujib,” katanya.
Hari ini Kosmo! melaporkan Ismanira kembali aktif di akaun Instagramnya dengan memuat naik empat hantaran mengenai fitnah, bahkan berkongsi tangkap layar artikel mengenai seksaan dan azab Allah terhadap golongan pemfitnah.
Bagaimanapun, Ismanira menutup ruangan di semua empat hantarannya itu sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada para pengikutnya.
Sebelum ini, akaun Ismanira ‘hilang’ apabila wanita itu dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari ditahan di Puncak Alam, Selangor pada 31 Mei lalu dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 13 Jun lalu, ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu pada Disember tahun lalu. Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Pada malam 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di sebatang anak sungai sehari selepas dia dilaporkan hilang di Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Laporan bedah siasat yang dikeluarkan mengesahkan kanak-kanak itu mati dibunuh ekoran terdapat kesan kecederaan pada leher serta badannya. – KOSMO! ONLINE