fbpx

GISBH: Kanak-kanak penyejuk mata, asbab masuk ke syurga – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

PETALING JAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menzahirkan rasa dukacita terhadap penderaan dan pengabaian kanak-kanak berkait dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Menerusi hantaran media sosial rasmi Selangor Royal Official, baginda turut mempersoalkan pihak GISBH berhubung perlakuan penderaan dan pengabaian tersebut.

“Penderaan dan pengabaian ke atas kanak-kanak yang disyaki terjadi amat mendukacitakan. Kenapa pihak GISBH melakukannya? Pihak GISBH hendaklah faham bahawa kanak-kanak mempunyai hak yang perlu dihormati dan disantuni.

“Mereka juga mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana aman dan selamat serta jauh daripada perlakuan jenayah jijik seperti pencabulan, liwat, dera, kahwin dan cerai secara paksa, buruh paksa, pemisahan anak-anak daripada ibu bapa, malahan disuruh mengaku sebagai anak yatim,” titah baginda hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, sekiranya benar siasatan menjurus kepada kesalahan jenayah seperti yang diperkatakan, amat tidak wajar dilakukan oleh pihak GISBH apabila tidak memelihara kanak-kanak dengan baik.

“Malah melakukan kezaliman terhadap mereka seperti menyekat pendidikan kanak-kanak tersebut untuk mendapat pendidikan arus perdana.

“Akhirnya sebilangan kanak-kanak tersebut akan menjadi penerus dan pendokong kesesatan akidah dan kepentingan duniawi barisan-barisan kemimpinan GISBH. Dengan kata lain, kanak-kanak dijadikan hamba demi ketuanan para pemimpinnya,” titah baginda.

Baginda bertitah, umat Islam hendaklah menyayangi dan menyantuni kanak-kanak dengan penuh kasih sayang kerana mereka penyejuk mata kepada ibu bapa dan penjaganya yang menjadi sebab dimasukkan ke syurga Allah SWT.

“Umat Islam juga hendaklah sama-sama melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk penderaan dan kezaliman dengan penuh amanah, ikhlas dan tegas demi kebajikan dan kemaslahatan nyawa mereka,” titah Sultan Selangor.

Terdahulu, baginda berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menyeru seluruh umat Islam menghayati dan memahami intipati khutbah Jumaat dibacakan oleh khatib di masjid-masjid negeri Selangor hari ini.

“Baginda senada dengan intipati khutbah hari ini yang bertajuk ‘Kenapa GISBH buat begini kepada kanak-kanak?’. Laporan menyebutkan beberapa kesalahan serius disyaki dilakukan oleh GISBH seperti penderaan pelajar, eksploitasi kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk liwat di beberapa rumah amal termasuklah di sekolah-sekolah agama Islam di bawah kendalian pihak GISBH sendiri.

“Kesalahan berhubung dengan amalan bertentangan dengan akidah agama Islam juga dikesan dan disyaki dilakukan di beberapa premis kumpulan GISBH. Semua perbuatan jenayah dan kesalahan akidah ini mencemar nama baik dan kesucian agama Islam.

“Malah boleh tergelincir akidah dan batal shahadah seseorang Muslim bila melakukan kesalahan akidah ini,” titah baginda.

Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri telah bertitah pada 21 September lalu berhubung isu tersebut, bahkan baginda menitahkan semua agensi agama Islam Selangor bekerjasama mengambil langkah tegas menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan semua yang terbabit diambil tindakan dengan sewajarnya.

Baginda telah menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarah supaya ditutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi lagi di negeri Selangor ini.

Baginda turut menasihati ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama atau pusat penjagaan amal supaya menyemak latar belakang sesebuah sekolah atau pusat penjagaan amal itu terlebih dahulu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI