IPOH – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita warga Indonesia dan dua anaknya yang dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu.
Identiti wanita terbabit ialah Ernawati Rajagukguk, 36, dan anaknya, Farisha Mohamed Faiz Khan dan Firaz Khan masing-masing berusia sembilan dan enam tahun.
Difahamkan, kali terakhir tiga beranak itu dilihat pada 13 September lalu di mana mereka dikatakan pergi ke Melaka untuk bercuti.
Laporan kehilangan mereka dibuat bekas suami wanita itu berusia 40-an di Balai Polis Tanjung Rambutan pada 22 September lalu selepas usaha mengesan ketiga-tiganya gagal.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi tiga beranak itu berada boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sub Inspektor Ferdaus Jahya di talian 019-7130163.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE