MANCHESTER – Manchester City dilaporkan telah mengenal pasti empat pemain tengah yang berpotensi untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Rodri pada jendela perpindahan Januari depan.
Begitupun, pengurus City, Pep Guardiola tidak begitu terdesak untuk mencari pengganti Rodri yang hampir pasti terlepas saingan musim ini susulan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dialami ketika menentang Arsenal pada Ahad lalu.
Kem City dikatakan hanya akan bertindak sekiranya harga perlu dibayar terhadap salah seorang daripada empat calon itu berada dalam bajet mereka pada Januari nanti.
Antara nama disebut-sebut ketika ini adalah bintang Inter Milan, Nicolo Barella yang dikatakan berminat mencari angin baharu biarpun baru menandatangi kontrak lanjutan di San Siro sehingga 2029.
Bagaimanapun, Inter tentunya tidak akan melepaskan Barella dengan harga kurang daripada £70 juta (RM387.13 juta), sama seperti seorang lagi calon City iaitu pemain tengah Real Sociedad, Martin Zubimendi.
Bintang muda Crystal Palace dan England, Adam Wharton dilihat sebagai calon jangka masa panjang sebagai pengganti Rodri disebabkan umurnya yang masih muda iaitu 20 tahun.
Nama terakhir dalam senarai The Citizens adalah pemain tengah bertahan Atalanta, Ederson yang beraksi cemerlang ketika seri tanpa jaringan dengan Arsenal dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu.
Difahamkan, City tidak mahu berbelanja besar mencari pengganti Rodri pada Januari nanti kerana ia boleh menjejaskan perancangan mereka membeli penyerang baharu musim depan untuk memberi saingan kepada Erling Haaland.
Buat masa ini, City berminat membeli Jamal Musiala dari Bayern Munich dianggarkan bernilai £83 juta (RM453.50 juta) dan penyerang Jepun mewakili Celtic, Kyogo Furuhashi yang berharga £15 juta (RM82.95 juta). – AGENSI