LONDON – Raheem Sterling berharap gol pertamanya dengan Arsenal ketika membenam Bolton Wanderers 5-1 pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi semalam dapat meningkatkan kariernya selepas dua tahun yang mengecewakan bersama Chelsea.
Sterling yang menyertai Arsenal pada hari terakhir jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris (EPL) bulan lalu mula mendapat keserasian bersama skuad kendalian Mikel Arteta apabila meledak gol pada babak kedua dalam perlawanan di Stadium Emirates itu.
Arteta juga gembira dengan apa yang dipamerkan pemain sayap lincah berusia 29 tahun itu dan berharap dia mampu mencapai tahap terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama nanti.
“Dia (Sterling) bermain dengan cukup baik dan dia mula menunjukkan potensi yang dia ada. Dari segi fizikal, dia perlu mencapai tahap yang kita mahukan. Tetapi apa yang dia persembahkan pada hari ini adalah satu langkah besar,” kata Arteta.
Pada perlawanan tersebut, Arteta membuat tujuh perubahan termasuk memberikan peluang kepada penjaga gol muda, Jack Porter turun bersaing dalam perlawanan tersebut.
Porter mencipta sejarah menjadi pemain paling muda Arsenal diturunkan di usia 16 tahun dan 72 hari, mengatasi rekod Cesc Fabregas yang beraksi ketika berumur 16 tahun 177 hari ketika menentang Rotherham pada 2003.
“Jack (Porter) telah pun berlatih bersama kami sejak aksi pramusim lagi. Dia seorang pemain yang tenang dan bermain dengan sangat baik. Beraksi di sini adalah satu pengalaman luar biasa buatnya,” tambah Arteta.
Pada perlawanan tersebut, Arsenal membuka tirai jaringan menerusi Declan Rice (m-16) sebelum Ethan Nwaneri menjaringkan dua gol pada minit ke-37 dan 49.
Bolton berjaya merapatkan jurang menerusi Aaron Collins (m-53) sebelum Sterling menyumbat gol keempat Arsenal dan Kai Havertz pada minit ke-78. – AGENSI