fbpx

622 huffaz sertai TVET, jalani kursus jurutera Airbus, Boeing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini diperluaskan di semua peringkat pendidikan termasuk melibatkan golongan huffaz di bawah program TVET Tahfiz bagi mengintegrasikan pendidikan Islam dengan kemahiran teknikal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini seramai 622 huffaz sedang menjalani latihan bidang penerbangan bagi melahirkan generasi yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang profesional di peringkat global.

Ujarnya, kerajaan akan memastikan huffaz yang terlibat ditempatkan di syarikat-syarikat gergasi antarabangsa termasuk Airbus dan Boeing, sekali gus mengubah tanggapan masyarakat mengenai masa hadapan golongan itu yang hanya tertumpu dalam bidang agama.

“Saya berbangga melihat Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut yang telah melahirkan ramai graduan TVET Tahfiz yang bukan sahaja mahir dalam teknologi, malah Huffaz.

“Kini seramai 17 huffaz telah bekerja dalam bidang penerbangan, yang sedang dilatih seramai 622 dan semuanya kita yakin (akan mendapat tempat pekerjaan) kerana kita telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat kejuruteraan dalam bidang aeroangkasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Institut Pendidikan TVET@KKDW 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambahnya, di bawah Program TVET Aras Tinggi (Hi-TVET), industri aeroangkasa, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) turut menawarkan lepasan pelajar Hi-TVET untuk bekerja di CTRM serta mendalami ilmu di syarikat Airbus dan Boeing di eropah dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu beliau memberitahu, kerajaan juga menunjukkan komitmen dalam menyediakan kemudahan peralatan latihan berteknologi terkini dengan membawa masuk enam buah kenderaan kenderaan elektrik (EV) dan hidrogen.

“Kita akan bawa masuk enam unit jenama baru kenderaan EV dan hidrogen baharu untuk dibuka (dikaji) pelajar-pelajar TVET.

“Kita tak mahu teknologi lama, kita mahu TVET mempunyai bahan latihan yang boleh membantu pelajar berada di garisan hadapan dalam bidang automotif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI