PASIR PUTEH – Seramai 19 nelayan warganegara Kemboja bersama seorang tekong yang menaiki dua buah bot nelayan tempatan ditahan selepas didapati menangkap ikan tanpa permit di perairan Kelantan baru-baru ini.
Kedua-dua buah bot itu ditahan pada 19 September lalu dan kelmarin semasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjalankan Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, seorang tekong warganegara Kemboja berusia 29 tahun didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan, namun tidak dapat mengemukakan lesen penggunaan bot selain didapati positif amphetamine.
Tambahnya, bot kedua yang dinaiki 18 nelayan yang berusia 24 hingga 55 tahun didapati melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang daripada yang dibenarkan. – KOSMO! ONLINE