PUTRAJAYA – Sudah tiba masanya untuk semua pihak mengambil serius terhadap isu membuang sampah merata-rata, lebih-lebih lagi apabila Malaysia dijadualkan akan menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara antarabangsa bermula tahun hadapan.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, selain menjadi tuan rumah sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025, negara juga akan menyambut ketibaan pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kita hendak sasarkan ketibaan pelancong asing seramai 35 juta orang dengan pendapatan daripada industri pelancongan kira-kira RM147 bilion.
“Oleh itu, amat penting untuk kita beri tanggapan baik kepada negara tercinta memandangkan sekarang ini adalah zaman sosial media, jika kita tidak jaga kebersihan maka apabila pelancong asing datang, mereka buat video TikTok, nama negara kita terjejas,” katanya.
Kor Ming berkata demikian menerusi sidang akhbar selepas Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Cuci Malaysia 2024 di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung perkembangan kajian pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), beliau memaklumkan bahawa pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun hadapan setelah mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.
Menurut Kor Ming, beliau melihat terdapat keperluan untuk meminda akta tersebut kerana hukuman khidmat sosial terhadap pesalah yang membuang sampah merata-rata terbukti berkesan seperti yang telah dilaksanakan oleh beberapa negara maju. – KOSMO! ONLINE