KUALA LANGAT – Kerajaan sedang mengenali pasti tanah ladang getah untuk ditebus guna bagi penanaman buluh sebagai komoditi utama negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dianggarkan sebanyak 420,000 hektar ladang getah terbiar dan tidak usahakan ketika ini boleh diaplikasi bagi meningkatkan eksport buluh yang mencatatkan RM20 juta, tahun lalu.
Katanya, buluh mempunyai nilai potensi tinggi dengan pasaran komoditi itu yang dijangka mencecah AS$100 bilion (RM413.1bilion) pada tahun 2028 berbanding AS$ bilion (RM289.1 bilion) pada tahun lalu.
“Kita ada dalam 1.1 juta hektar tetapi 420,000 hektar tidak ditoreh dan diusahakan kerana ramai daripada pekebun kecil sudah berusia dan tidak buat menoreh lagi. Anak-anak pula sudah keluar termasuk belajar di universiti, jadi tiada siapa usahakan dan tanah terbiar.
“Ramai pelabur menyatakan minat dalam industri buluh tetapi isunya tanah terhad. Minimum skala besar tanaman buluh adalah 2,000 hektar tambahan ia (buluh) senang jaga, tidak rumit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Buluh Sedunia di Tadom Hill Resort di sini, hari ini.
Menurut beliau, negara membelanjakan sebanyak RM108 juta dalam mengimport buluh berbanding kalau diusahakan sendiri satu hektar tanaman tersebut boleh menghasilkan sebanyak 60 tan dengan nilai akan bertambah sekiranya dijadikan produk.
Namun, Johari menjelaskan ia bergantung kepada kualiti buruh, saiz tanaman sama ada dilaksanakan komersial atau kecil-kecilan.
“Daripada 1,600 spesis buluh yang terdapat di dunia. Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesis tersebut dan daripadanya 45 spesis tempatan yang tumbuh semula jadi di kawasan hutan.
“Buluh yang ditanam dan diusahakan ketika ini adalah seperti buluh betong, beti, semantan dan semeliang. Buluh ini juga diperkenalkan sebagai sumber alternatif akibat kekurangan bahan mentah dihadapi industri perkayuan,” katanya.
Justeru, beliau yakin industri buluh mampu menjadi penyumbang signifikan kepada ekonomi negara selain tidak harus dilihat sekadar barangan kraftangan.
“Kita boleh menjadikan buluh sebagai sumber alternatif mampan bagi plastik atau kertas untuk menghasilkan produk seperti bekas makanan, tisu tandas, straw dan lain-lain,” katanya. -KOSMO!ONLINE