fbpx

Syafik kena kejar sebelum dilambung gajah – Bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yakob menunjukkan gambar anaknya Mohamad Syafik yang maut dipijak gajah

MERSING – Seorang bapa terkejut selepas dimaklumkan anaknya dipijak gajah oleh penduduk kampung dalam kejadian di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Tenggaroh 5 di sini pagi tadi.

Mangsa, Mohamad Syafik Yakob, 31, yang bekerja sebagai tukang kebun meninggal dunia selepas diserang haiwan liar tersebut ketika cuba menghalau gajah yang berada di belakang sekolah.

Bapanya, Yakob Md. Yusof, 65, berkata, dia dimaklumkan tentang kejadian menimpa Mohamad Syafik pada pukul 11 pagi ketika berada di rumah.

“Sebaik tiba di lokasi saya dapati memang betul itu anak saya. Sewaktu sampai anak saya sudah tidak sedarkan diri, namun dia sempat membuka mata sebelum menutup semula.

“Ketika kejadian saya difahamkan anak sempat dikejar gajah, sebelum dilambung ketika diserang. Terdapat tiga mangsa, seorang sempat lari menyelamatkan diri, seorang lagi turut parah diserang gajah liar tersebut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Tenggaroh Timur 1 hari ini.

Yakob memberitahu, kehadiran haiwan liar di kampung itu berlaku sejak dia dan isteri berpindah di Felda berkenaan bagaimanapun haiwan itu tidak pernah mengganggu penduduk meskipun lalu di tepi rumah mereka.

Katanya, dia reda dengan kejadian yang menimpa anak bongsu tersebut. Jenazah Mohamad Syafik dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Islam Felda Tenggaroh Timur 1.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Tenggaroh Timur 1, Alias Atan berkata, kehadiran gajah liar berlaku sejak sekian lama, namun tidak serius sepertimana berlaku pada hari ini hingga meragut nyawa.

“Bila gajah liar masuk kampung kita pesan kepada penduduk agar jangan usik. Boleh dikatakan gajah liar selalu main di sini dan ini baru seekor ada banyak lagi. Selalunya gajah itu tidak ganggu penduduk, yang jadi mangsa pokok sawit.

“Bila berlaku seperti ini kami bimbang lebih-lebih lagi lokasinya berhampiran sekolah. Guru-guru juga bimbang,” katanya yang berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berulang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI