PETALING JAYA – Pendedahan peguam syarie mengenai punca sebenar pelakon Fazura memfailkan cerai terhadap suaminya, Fattah Amin iaitu tiada persefahaman membuatkan segelintir netizen berasa menyesal kerana melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap aktor itu sebelum ini.
Sejak semalam, media sosial mula dibanjiri dengan komen netizen yang rasa terkilan dan bersalah kerana pernah menuduh Fattah berlaku curang di belakang Fazura sehingga menyebabkan aktres itu nekad memfailkan cerai pada 13 September lalu.
Bukan sahaja menyesal, malah terkejut apabila punca Fazura memfailkan cerai adalah disebabkan tiada persefahaman sedangkan rumah tangga mereka kelihatan bahagia beberapa bulan sebelum itu.
“Siapa yang buat cerita Fattah curang tempoh hari, merangkaklah di akhirat nanti minta maaf pada dia.
“Mungkin juga sebab tidak sekufu dan persefahaman itu sukar nak dapat. Semoga rumah tangga mereka dapat diteruskan,” komen netizen.
Sementara itu, terdapat juga netizen yang terus memuji Fazura kerana masih berpegang dengan pendirian tidak membuka aib pasangan meskipun dihambat dengan pelbagai spekulasi dan tekanan dalam media sosial.
Semalam, peguam syarie yang mewakili Fazura iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan menafikan curang menjadi punca anak guamnya memfailkan perceraian terhadap Fattah.
Memperincikan perkara itu, Fakhrul memberitahu, perceraian itu berpunca kerana tiada persefahaman antara mereka.
Fakhrul berkata, isu curang yang disensasikan hingga tular di media sosial tidak pernah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak sebelum ini.
“Semuanya berpunca daripada individu yang membuat kenyataan di media sosial terhadap perkara yang kami tak pernah cakap.
“Kedua-dua pihak sebolehnya mahu menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka tanpa mengaibkan mana-mana pihak,” katanya selepas prosiding kes di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam semalam.
Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari semalam menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti, Fazura dan Fattah ke tarikh baharu pada 7 Oktober ini.
Fattah yang turut hadir semalam juga memberitahu tiada sebarang lafaz talak dilakukan terhadap isterinya yang kekal dengan pendirian nekad untuk bercerai.
Sebelum ini, tular dakwaan Fattah curang terhadap isterinya dan khabar angin itu turut dikukuhkan oleh pengawal peribadi Fazura dengan mendedahkan ada ‘penyondol’ yang menjadi pencetus konflik rumah tangga pasangan tersebut. – HIBGLAM