PETALING JAYA – Bapa kepada Muhamad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri, bayi lapan bulan yang maut selepas didera pengasuh melahirkan rasa syukur kerana akhirnya penempatan tugasnya dipindahkan ke Melaka.
Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39, yang sebelum ini bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur memaklumkan perkara tersebut menerusi hantaran di Instagramnya, hari ini.
Di dalam hantarannya itu, Mohd. Fikry berkata penantiannya selama 14 tahun untuk duduk sebumbung dengan isterinya di Melaka berakhir apabila urusan menyerah tugas berlangsung hari ini.
“Alhamdulillah syukur selesai serah-menyerah tugas. Penantian selama 14 tahun berakhir.
“Setelah sekian lama hidup berjauhan dengan isteri, akhirnya saya dapat hidup sebumbung,” tulisnya.
Tambah Mohd. Fikry lagi, pemergian Al Fateh pada 6 September lalu menjadi asbab untuk dirinya kembali ke Melaka sekali gus berharap agar segala urusan baharunya dipermudahkan.
“Semoga dipermudahkan urusan saya di tempat baru. Dapat ‘daddy’ dan ‘mommy’ melawat kubur Al Fateh hari-hari. Insya-Allah.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi kata-kata semangat. Semoga Allah membalas jasa kalian dengan rezeki berlipat ganda. Amin Ya Rabbal Al-amin,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan mempertimbangkan permohonan Mohd. Fikry berhubung perubahan penempatan tugasnya dari RAJD Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur ke Kem Sungai Udang, Melaka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kementerian prihatin dengan situasi sukar sedang dialami keluarga itu yang memerlukan mereka berada berdekatan memandangkan si suami berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi, manakala si isteri seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naning.
Terdahulu, Kosmo! pada 6 September lalu melaporkan Muhammad Al Fateh meninggal dunia dipercayai akibat perbuatan seorang pengasuh wanita di sebuah taska di Taman Kelemak Utama.
Al Fateh didakwa telah dibedung, disumbat dengan botol susu sebelum ditekup mengggunakan bantal oleh pengasuhnya yang berusia 34 tahun.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh Mohd. Fikry yang melihat kejadian tidak berhati perut itu dilakukan suspek melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis terbabit. – KOSMO! ONLINE