ISKANDAR PUTERI – Institusi pengajian tinggi tempatan perlu bangunkan silibus pendidikan yang dapat melahirkan modal insan memenuhi keperluan pasaran berkemahiran tinggi antarabangsa, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama antara sektor swasta dan institut pengajian tinggi (IPT) awam dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebelum ini boleh dijadikan contoh.
Sehubungan itu katanya, usaha Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mewujudkan Fakulti AI pertama di Malaysia dalam tempoh empat bulan wajar dipuji.
“Ia merupakan program awal, jadi kita perlukan kerjasama pihak bank, konglomerat dan juga bursa untuk bekerjasama dengan IPT bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja kompeten.
“Usaha ini penting kerana syarikat antarabangsa seperti Nvidia, Google dan juga Amazon menyatakan kebimbangan dengan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi tempatan,” katanya ketika berucap pada program Invest Malaysia: Where Policy Meets Progress di Hotel Sunway Big Box, di sini hari ini.
Sementara itu, Anwar turut memberitahu inisiatif baharu perlu terus diperkenal bagi menarik kemasukan lebih banyak pelaburan antarabangsa melalui kerjasama erat Malaysia dan negara anggota ASEAN.
“Sekarang kita lihat kolaborasi baik di Johor dengan Singapura melalui inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), semua pemain industri turut berkolaborasi bagi menjadikan usaha ini satu kejayaan,” jelasnya.
Januari lalu, UTM memaklumkan seramai 120 penuntut tempatan akan menjadi kumpulan perintis bagi mengikuti pengajian di Fakulti AI pertama negara di universiti awam berkenaan bermula sesi Akademik 2024/2025. – KOSMO! ONLINE