JAGUH Indonesia, Borneo Samarinda melaungkan keyakinan untuk memburu keputusan positif pada perlawanan Kejohanan Kelab Asia Tenggara (ACC) menjelang aksi bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City) Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Ketua jurulatihnya, Pietar Huistra berkata, pasukan tuan rumah memiliki ramai pemain berkualiti yang boleh dianggap sebagai ancaman buat anak-anak buahnya nanti.
Namun, Huistra mengakui rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Indonesia musim ini memberi motivasi terbaik buat pasukan dalam usaha mencuri mata berharga.
“Saya sudah melakukan analisis mengenai corak permainan mereka dan apa yang boleh saya katakan bahawa kami sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik.
“Secara jujur, saya harap barisan pemain tidak terlalu mengikut rentak pasukan lawan dan kekal bermain dengan cara permainan sendiri seperti sebelum ini.
“Mengenai keputusan, saya tidak kisah jika kami meraih kemenangan atau keputusan seri tetapi apa yang penting pasukan dapat beraksi dengan baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Huistra yang pernah menjadi Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) mengakui sudah merencanakan kesebelasan terbaik dengan meletakkan lima pemain import.
“Kami ada lapan pemain import tetapi hanya lima yang boleh diturunkan. Saya harap semua pemain bersedia sepenuhnya untuk berikan yang terbaik nanti,” katanya.