ATLET karate negara, C. Shahmalarani semakin cemerlang dalam arena antarabangsa dan kini menumpukan perhatian untuk mencapai sasaran lebih tinggi dalam kariernya dengan berazam untuk melonjak kedudukan ranking No. 10 dunia sebelum penghujung tahun ini.
Shahmalarani, 25, kini berada pada kedudukan No. 15 dunia, namun tetap optimis memperbaiki prestasi dan mengejar impian untuk tersenarai dalam kelompok atlet elit dunia selain mahu membuktikan kemampuan dirinya di pentas antarabangsa.
“Saya menyasarkan untuk menduduki sekurang-kurangnya ranking No. 10 dunia. Semuanya bergantung pada kemas kini kedudukan ranking hujung tahun ini sama ada saya dapat melonjak ke tangga 10, 11 atau 12 dunia,” katanya.
Kejayaan Shahmalarani tidak diraih dengan mudah apabila mengalami kecederaan serius medial collateral ligament (MCL) tahap 2 ketika meraih pingat gangsa acara kumite bawah 50 kilogram wanita pada Kejohanan Karate Senior Asia 2024 di Hangzhou, China baru-baru ini.
Dalam aksi penuh debaran, Shahmalarani mempamerkan kehebatan dengan menewaskan Choy Ying Ting dari Hong Kong dengan keputusan 8-0 di pusingan repechage sekali gus menyumbangkan pingat untuk Malaysia.
Kejohanan tersebut merupakan yang terakhir musim ini dan kini Shahmalarani akan menjalani fasa pemulihan sepenuhnya sebelum kembali beraksi tahun depan.
Begitupun, dia tidak akan berehat sepenuhnya, sebaliknya terus fokus menjalani latihan intensif yang memberi tumpuan kepada kekuatan dan mobiliti untuk memastikan dia kembali ke gelanggang dalam keadaan terbaik.
Shahmalarani juga aktif menyertai Liga Premier Karate sebagai platform untuk mendapatkan pendedahan antarabangsa yang lebih luas, namun hanya berkesempatan menyertai tiga kejohanan selain bercadang untuk menyertai lebih banyak kejohanan dalam usaha mengukuhkan prestasinya.
“Untuk beraksi di peringkat tertinggi, kami perlu menyertai lebih banyak kejohanan dunia. Pendedahan ini penting untuk memperbaiki prestasi dan bersaing dengan atlet terbaik dunia,” ujarnya.