PETALING JAYA – Orang ramai dilihat masih tidak berpuas hati dengan kenyataan balas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung isu pendaftaran masuk hotel dan inap desa pada pukul 4 petang.
Sebelum ini, MOTAC dalam kenyataannya menitipkan nasihat kepada orang ramai agar sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan oleh pihak hotel sebelum membuat tempahan.
Menurut MOTAC, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang salah faham atau ketidakpuasan hati terutama berkaitan harga dan perkhidmatan yang disediakan.
Tinjauan Kosmo! di Facebook rasmi MOTAC mendapati, ramai yang membanjiri ruangan komen kementerian tersebut dan meluahkan rasa kesal apabila tiada tindakan tegas diambil oleh pihak berwajib berhubung luahan pengguna.
“Kenyataan jaga sebelah pihak nampaknya,” kata EE Isma.
“Tolonglah bertegas. Jangan melepaskan batuk di tangga. Kalau setakat macam ini jawapannya, bubar sahajalah kementerian. Tiada faedah untuk kemaslahatan rakyat Malaysia,” kata Awan Biru.
“Nampaknya keluhan pelanggan tidak diendah kerajaan,” kata Shahril Awang pula.
Terdahulu, tular tindakan segelintir pihak hotel yang menetapkan waktu daftar masuk premis mereka bermula pada pukul 4 petang, manakala keluar pula seawal pukul 11 pagi.
Tindakan itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen dengan rata-rata mereka meluahkan rasa tidak adil bagi pelanggan kerana tempoh penginapan agak singkat.
Ada yang mengatakan bukan sahaja hotel menetapkan demikian, malah inap desa turut mengambil langkah sama.
Lebih malang lagi, ada pelanggan dikenakan caj tambahan jika terlewat mendaftar keluar walaupun lewat kemasukan akibat menunggu bilik disediakan
Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia, Dr. Sri Ganesh Michiel menjelaskan, pemilik hotel dan inap desa bebas menetapkan masa daftar masuk kerana tidak termaktub di dalam undang-undang perhotelan. – KOSMO! ONLINE