fbpx

101 murid keracunan, kantin SK Chepor tutup 2 minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SK Chepor di Ipoh ditutup dua minggu ekoran kes keracunan makanan.

IPOH – Seramai 101 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor di sini mengalami keracunan makanan selepas menikmati minuman berperisa coklat dan ayam goreng yang disediakan di dapur kantin sekolah itu, semalam.

Pengerusi Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, Jabatan Kesihatan Perak melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta pada awalnya menerima notifikasi mengenai lima orang pelajar sekolah berkenaan pukul 8 pagi semalam kerana mengalami gejala keracunan.

Beliau berkata, antara gejala itu antaranya seperti cirit, muntah, sakit perut dan demam yang menerima rawatan di dua fasiliti kesihatan di sekitar Ipoh.

“Seramai 96 orang kes lagi telah dikesan sehingga jam 5 petang semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 101 orang iaitu melibatkan 50 orang murid perempuan dan 51 orang murid.

“Seorang murid sekolah tersebut telah dimasukkan ke wad kanak-kanak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk mendapat rawatan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya di sini, semalam.

Katanya lagi, seramai 62 orang murid lagi telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan dan klinik swasta yang berhampiran dengan kawasan rumah masing-masing.

Ujarnya, agen yang disyaki menyebabkan keracunan ini ialah salmonella spp berdasarkan gejala dan tempoh inkubasi kes.

“Pihak PKD Kinta telah membuat pemeriksaan premis kantin SK Chepor semalam dan mendapati penilaian premis makanan berasaskan risiko adalah tidak memuaskan dengan tahap rating 67.9 peratus.

“Sehubungan itu, pihak PKD Kinta telah mengeluarkan arahan penutupan kantin SK Chepor selama 14 hari di bawah Seksyen (11) Akta Makanan 1983. Kompaun juga telah dikeluarkan atas kesalahan pemakaian aksesori sewaktu mengendalikan makanan,” katanya.

Semalam, Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah memaklumkan seramai 86 orang murid SK Chepor mengalami gejala keracunan makanan melibat murid sesi pagi dan petang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI