KUALA KRAI – Seorang mudir Sekolah Rendah Integrasi Islam Ikhwan, Kampung Gong Kulim di Pasir Puteh direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan 34 buah buku berkaitan Al-Arqam dan Aurad Muhammadiah di sekolah tersebut kelmarin.
Perintah reman bermula hari ini sehingga Ahad terhadap lelaki berusia 66 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Amal Razim Alias di Mahkamah Majistret di sini.
Suspek diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Zuraidah Abdul Aziz.
Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan ke atas suspek mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Difahamkan, lelaki itu merupakan mudir di sekolah milik GISB Holdings (GISBH) di Pasir Puteh dan ditahan semasa berada di sebuah kedai tomyam di Pasir Puteh semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan pelbagai jenis bahan bacaan berkaitan Al-Arqam dan Aurad Muhammadiah dirampas dalam serbuan di sebuah rumah amal dan sekolah milik GISBH di Gong Kulim kelmarin.
Kesemua buku-buku itu dijumpai di dalam stor rumah amal terbabit dalam operasi selama tiga jam bermula pada pukul 9 pagi.
Terdahulu, polis terpaksa memecahkan pintu rumah dan sekolah terbabit yang sudah tidak berpenghuni kerana berkunci.
Premis dan rumah amal terbabit yang sebelum ini menjadi tempat tinggal lebih 60 orang pengikut GISBH sudah dikosongkan selepas polis melakukan serbuan di rumah isteri kedua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH di Kampung Panji, Kota Bharu pada Sabtu lalu. – KOSMO! ONLINE