PUTRAJAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) diarah untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penyediaan dan penyebaran maklumat, nasihat serta amaran cuaca.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bagi maklumat berkenaan dapat dikeluarkan dengan lebih kerap apabila cuaca dijangka menjadi ekstrem dan melampau.
“Pihak MetMalaysia juga telah diarahkan untuk menambah baik aspek komunikasi dalam penyebaran maklumat dan amaran cuaca yang lebih efektif.
“Ini bagi memastikan orang awam lebih cakna terhadap keadaan cuaca semasa dan sekali gus dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan berkenaan dibuat susulan laporan media menyatakan MetMalaysia tidak mengeluarkan amaran cuaca disebabkan ramalan yang telah dikeluarkan lima hari terdahulu adalah masih lagi efektif.
Ia berikutan, kejadian ribut dan hujan lebat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini yang telah mengakibatkan banyak kes pokok tumbang, kejadian banjir serta kemusnahan harta orang awam akibat ribut terutamanya di kawasan utara negara.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, fasa peralihan monsun telah bermula minggu ini dan akan berterusan sehingga awal November.
Beliau berkata, permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lalu.
“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
“Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam masa singkat, terutamanya waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” ujarnya.
Jelasnya, keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.
Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – KOSMO! ONLINE