fbpx

Malaysia, China tingkat kerjasama bidang media dan penyiaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi dan Shumin pada Majlis Resepsi yang dihoskan Kedutaan Malaysia di Beijing, hari ini.

BEIJING – Malaysia dan China memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan pertukaran serta penghasilan kandungan kreatif antara kedua-dua negara.

MoU berkenaan ditandatangani di sini hari ini oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional China, Cao Shumin.

MoU bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang media dan penyiaran tersebut akan memberi fokus kepada kandungan yang menonjolkan budaya, pelancongan dan makanan kedua-dua negara.

Menurut Fahmi, beliau juga telah meminta Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk meneruskan perbincangan dengan agensi sejawat di China berhubung kerjasama tersebut.

“Ini supaya kita sebagai sebuah negara yang akan mempengerusikan ASEAN mengambil kesempatan menonjolkan Malaysia kepada penonton di China dan juga sempena program Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Resepsi yang dihoskan Kedutaan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau berharap lebih banyak lagi kerjasama dalam penghasilan kandungan kreatif dapat dicapai melalui MoU itu sekali gus mengeratkan lagi persahabatan kedua-dua negara yang menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini.

Ujarnya, beliau malah mendapati terdapat beberapa format kandungan yang boleh dihasilkan oleh kedua-dua negara termasuk daripada segi drama, kisah cinta, dokumentari, travelog dan foodvlog.

“Banyak peluang terutama di kawasan Xian yang majoriti Muslim. Jumlah rakyat Cina beragama Islam itu sangat besar. Ini satu pasaran yang kita harus kenal pasti dan tonjolkan supaya mereka juga berminat untuk datang ke Malaysia,” katanya.

Tambahnya, beliau turut menyuarakan minat berhubung trend baharu ‘micro drama’ yang berdurasi kurang seminit dan sangat diminati ramai di China untuk dipelajari Malaysia semasa pertemuan dengan Cao Shumin.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau berharap kehadirannya dan delegasi di China menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan lagi sektor telekomunikasi dan teknologi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI