fbpx

Lelaki Singapura antara 5 didakwa buang sisa toksik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIMA lelaki termasuk seorang lelaki Singapura (berbaju hijau) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas pertuduhan bersubahat membuang sisa toksik sehingga menyebabkan pencemaran, 4 September lalu. Foto oleh MASTURAH SURAI

KOTA TINGGI – Seorang pengarah dan pemegang saham sebuah kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air di Bandar Tenggara pada 4 September lalu.

Tertuduh, Tan Eng Yong, 41, merupakan warga Singapura dan Lau Kam Wai, 53, warga tempatan bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama R Navaraj, 23, K Prasanth, 28 dan K Jaya Kumar, 52, serta seorang lagi masih bebas telah secara tidak langsung melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu diantara pukul 8 malam hingga 11.30 malam bertempat di kawasan lombong Kampung Orang Asli (KOA) Pasir Intan, Bandar Tenggara, di sini.

Atas kesalahan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang dibaca bersama dengan seksyen 124K Kanun yang sama.

Dalam pertuduhan berasingan, Navaraj, Prasanth dan Jaya Kumar pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama didakwa melakukan sabotaj iaitu menyebabkan mudarat terhadap pemeliharaan perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan air.

Mereka didakwa atas Seksyen 124K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun dan maksimum 40 tahun sekiranya disabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh mengangguk memahami pertuduhan dibacakan serta mengaku tidak bersalah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar.

Manakala Tan Eng Yong dan Lau Kam Wai diwakili peguam, Muhammad Mohd Nasir dan Goh Sze Han. Sementara ketiga lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Hayda Faridzal tidak membenarkan jaminan bagi semua tertuduh dan menetapkan 14 November sebagai tarikh sebutan kes dan bagi pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI