GUA MUSANG – Kebimbangan seorang abang terhadap adiknya yang tidak pulang ke rumah sejak semalam terjawab apabila lelaki itu ditemui maut dalam keadaan tersangkut pada celahan pokok dokong semasa memetik buah itu kebun keluarganya di Kampung Jerek Baru di sini, hari ini.
Mangsa, Mohamad Mat Noor, 51, yang meninggal dunia akibat serangan jantung dijumpai tersangkut pada sebatang pokok dokong berketinggian kira-kira tiga meter di kebun yang terletak 2 kilometer dari rumahnya pada pukul 8.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa keluar dari rumah kira-kira pukul 3 petang semalam untuk memetik buah dokong di kebunnya.
Katanya, abang mangsa, Abd. Rani, 59, menyedari adiknya belum pulang ke rumah sehingga pukul 8 malam semalam dan bertindak mencari adiknya pagi tadi di kebun milik keluarganya yang terletak 800 meter dari jalan utama.
“Abd. Rani terkejut lihat adiknya tersangkut pada celah dahan pokok. Baldi yang digunakan untuk petik buah masih lagi berada di atas pokok dokong itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Choon Foo memberiyahu, Abd. Rani kemudian meminta bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang untuk menurunkan mayat adiknya dari atas pokok itu.
Katanya, pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Jerek mengesahkan kematian mangsa yang masih bujang itu disebabkan serangan jantung.
“Siasatan lanjut mendapati, tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.
Tambah Choon Foo, jenazah mangsa telah diserah kepada keluarga untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerek di sini selepas solat Asar hari ini. – KOSMO! ONLINE