KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menjalankan gerak kerja untuk berhadapan dengan cabaran baharu dunia pendidikan bagi mempersiapkan individu dengan pasaran pekerjaan masa hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, KPT sedang berhadapan dengan cabaran baharu dunia pekerjaan masa hadapan yang perlu diteroka lebih mendalam termasuklah bidang teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Begitu juga bagaimana kita hendak membina manusia yang seimbang.
“Oleh itu, KPT telah memulakan gerak kerja bersama sekumpulan pakar daripada pelbagai latar belakang untuk merumuskan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026-2035 berdasarkan input yang diperoleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuan Malaysia Madani ‘Peralihan Tenaga Untuk Kesejahteraan Masa Depan Negara’ di sini, malam tadi.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Pengerusi Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.
Zamry berkata, KPT bersama kumpulan pakar itu akan membuat perancangan rapi untuk memastikan Kerajaan benar-benar mendalami apa yang perlu dilakukan untuk tempoh 10 tahun yang akan datang iaitu dari 2026 sehingga 2035.
“Sehubungan itu, kita memberi fokus kepada empat perkara penting dalam PPTM 2026-2035 iaitu Integrasi Teknologi, Keperluan Tenaga Kerja Yang Berkembang, Pembelajaran Sepanjang Hayat & Fleksibiliti serta Kemampanan & Cabaran Global.
“Jadi, dari pemerhatian sekumpulan pakar yang ada ini, empat teras utama itu diberi perhatian dalam usaha merangka pelan perancangan masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, KPT memulakan siri pertama FIM bersama TNB yang mana program tersebut merupakan salah satu inisiatif yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sendiri.
FIM merupakan platform penting yang menghimpunkan para ilmuan, tokoh industri dan pemimpin masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk membincangkan isu-isu kritikal yang dihadapi rakyat Malaysia hari ini.
Program tersebut dilaksanakan secara bersiri bermula September 2024 hingga Ogos 2025 dengan setiap siri akan dihoskan oleh Syarikat Berkepentingan Kerajaan (Government Linked Companies, GLC).
Penganjuran FIM sejajar dengan matlamat memperkukuh pembangunan negara berdasarkan Kerangka Ekonomi MADANI dan visi reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur. – KOSMO! ONLINE