KUANTAN – Ibu bapa seorang lelaki Orang Asli Kampung Runchang, Pekan, yang meninggal dunia ketika berada di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada 3 Mei lalu menuntut penjelasan pihak polis berhubung kematian anak mereka.
Ibunya, Noriah Hitam, 51, berkata, sehingga kini mereka sekeluarga masih belum mendapat penjelasan sebenar bagaimana anak mereka, Norazman Me, 25, boleh bertindak menggantung diri ketika dalam pengawasan pihak polis.
Katanya, sebaik dimaklumkan anaknya ditangkap pada 1 Mei lalu kerana disyaki mencuri motosikal, dia meletakkan sepenuh kepercayaan jagaan anaknya kepada pihak polis.
“Saya tahu anak saya ada masalah (ditangkap polis) tetapi saya percaya kepada polis. Bila kena tangkap, polis akan jaga.
“Ya, mungkin anak saya gantung diri, tetapi kenapa mereka tidak jaga? Bukankah ada CCTV (kamera litar tertutup)? Bukankah ada rondaan pada malam itu?,” soalnya ketika ditemui di pejabat peguam Bob S. Arumugan & Co, di sini, hari ini.
Bercerita lanjut tentang hari kejadian, Noriah berkata, dia dihubungi pihak polis pada pukul 3 pagi, 4 Mei lalu namun tidak mengangkat panggilan tersebut kerana telefonnya dicas di bilik berasingan ketika sedang tidur.
“Polis sekali lagi menghubungi saya pada pukul 8 pagi dan beritahu anak saya sudah meninggal dunia dan meminta untuk kami pergi ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk menuntut mayat anak kami,” katanya yang hadir ditemani suami, Me KingKing, 58, dan anak perempuannya, Rodiah Me, 19.
Dia memberitahu, Rodiah telah ke IPD Pekan untuk melihat CCTV kejadian namun tidak dibenarkan pihak polis berikutan perlu membuat surat permohonan terlebih dahulu.
“Ketika di HTAA, pihak yang ditemui ketika itu beritahu boleh tengok CCTV di balai, tetapi bila sampai balai, mereka kata tidak boleh pula.
“Jadi kami sehingga kini tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian. Bagaimana anak kami itu boleh menggantung diri,” katanya.
Dalam pada itu Noriah berkata, kali terakhir dia menemui anak sulung daripada tiga beradik itu adalah pada April lalu yang mana anaknya, seorang duda memiliki seorang anak lelaki berusia enam tahun menyatakan hasrat untuk tinggal bersama saudaranya di Sungai Miang, di sini.
“Itulah kali terakhir saya jumpa dia sebelum dihubungi ibu saudara saya memaklumkan anak saya ditangkap polis kerana mencuri motosikal,” ujarnya.
Tidak berpuas hati dengan cara kematiannya anaknya itu, Rodiah kemudiannya bertindak menemui peguam, Datuk Bob S. Arumugam yang kemudiannya dilantik bagi mewakili keluarga itu termasuk membantu membawa mereka untuk membuat laporan polis berkaitan perkara tersebut pada 20 September lalu.
Laporan polis berkenaan dibuat berikutan rasa tidak puas hati sekali gus merayu pihak berkuasa membuat siasatan terperinci dan adil tentang kejadian terbabit.
Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan awal susulan insiden membabitkan Norazman.
“Tangkapan dibuat kerana kesalahan mencuri motosikal. Ditahan di lokap IPD Pekan dan dijumpai dalam keadaan menggantung diri.
“Kes ini telah dibuka kertas siasatan SDR (mati mengejut) selepas kematian,” katanya yang turut memaklumkan bersedia untuk bertemu dengan keluarga mangsa bagi tujuan penjelasan lanjut berkaitan kes itu. – KOSMO! ONLINE