SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan siasatan ke atas 612 individu yang terlibat dengan isu GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, siasatan dengan kerjasama penuh polis itu mengesan 386 individu diklasifikasikan sebagai mangsa yang diselamatkan untuk ditemubual.
Jelas beliau, seramai 184 individu pula sebagai orang yang disyaki (OYDS) bagi tujuan pendakwaan, manakala baki 42 individu masih menunggu klasifikasi pihak polis.
“Sehingga petang tadi, lebih 100 OYDS telah ditangkap JAIS untuk disiasat dan dirakam percakapan.
“Semua individu akan disiasat mengikut Seksyen 7,8,10,12(c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 106 dan 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016 serta Seksyen 40 dan 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003,” katanya malam ini.
Mohammad Fahmi memberitahu, jawatankuasa khas turut melantik lapan pegawai penyiasat (IO) khas bagi meneruskan siasatan beberapa kes penting melibatkan individu berprofil tinggi dalam GISBH.
“Tangkapan polis terhadap individu itu dijangka membolehkan JAIS mengemukakan kes ke Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor.
“JAIS turut menutup semua Sekolah Islam di bawah GISBH dangan mengeluarkan notis penutupan mengikut Seksyen 25 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 Pindaan 2001,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE