Baru-baru ini, tular satu video oleh pencipta kandungan wanita dan anaknya yang melakonkan watak sebagai suami isteri. Video tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen kerana terdapat babak-babak yang mengganggu sensitiviti agama dan masyarakat serta boleh menimbulkan fitnah. Boleh berikan penjelasan?
JAWAPAN: Secara asasnya, Islam menuntut berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa sebaik sahaja memerintahkan kepada umat Islam untuk mentauhidkan Allah SWT serta tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu.
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah Al-Nisa, 36)
Hal ini menunjukkan peri pentingnya berbakti kepada ibu bapa sebagai insan yang paling dekat bagi seorang hamba selepas hak dan tanggungjawabnya mentauhidkan dan beribadah kepada Allah SWT. Namun begitu, meskipun dituntut untuk berbuat baik dengan ibu bapa, namun terdapat riwayat yang menjelaskan kemuliaan dan kelebihan ibu berbanding bapa.
Hal ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa terdapat seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah SAW berkaitan manusia yang paling berhak untuk dia berbuat baik, maka Baginda SAW bersabda: “Ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu, kemudian kaum kerabat yang terdekat dengan kamu dan seterusnya.” (Riwayat Muslim)
Selain itu, peranan ibu bapa juga menjadi contoh teladan dengan menunjukkan sikap dan budi pekerti yang baik lantaran mereka dilihat sebagai satu susuk tubuh yang wajib dihormati. Hal ini kerana, anak-anak lebih cenderung mengikuti tingkah laku yang paling hampir dengan mereka.
Pada dasarnya, sebarang bentuk hiburan adalah diharuskan selagi mana tidak menyalahi atau melanggar batas hukum syarak. Justeru, setiap kandungan yang dipaparkan dalam media massa sama ada berupa lakonan, nyanyian, sketsa dan sebagainya yang mengandungi unsur-unsur ke arah sumbang mahram serta membangkitkan syahwat adalah haram. Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah Al-Isra’: 32)
Al-Qurtubi menafsirkan bahawa larangan ayat berkenaan bukan sahaja merujuk terhadap larangan perbuatan zina tetapi melibatkan perbuatan yang menyumbang ke arah zina. Justeru, meskipun kandungan yang dihasilkan dalam video tersebut hanyalah bertujuan sebagai gurauan dan hiburan semata-mata, namun ia bukanlah satu peluang untuk memaparkan kandungan bertentangan dengan syarak.
Hal ini kerana, setiap tujuan yang baik tidak menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh syarak. Berkaitan isu ini, perbuatan anak yang melakonkan watak sebagai suami serta diselitkan dengan babak-babak berunsur lucah boleh menimbulkan fitnah kepada masyarakat.
Selain itu, ditakuti sekiranya lakonan yang awalnya dianggap sebagai bahan hiburan dan promosi jualan lantas menimbulkan syahwat dan menjerumuskan pelakunya ke dalam perzinaan atau sumbang mahram. Perkara ini boleh berlaku sekiranya batas pergaulan antara mahram tidak dititikberatkan.
Berkenaan isu lakonan klip video yang tular tersebut, biarpun adegan yang ditonjolkan hanyalah lakonan semata-mata, namun perkara tersebut telah menyentuh sensitiviti agama dan norma masyarakat dengan meletakkan kedudukan ibu dan layanan ibu terhadap anak pada bukan tempatnya.
Meskipun lakonan tersebut dilakonkan sesama mahram, adab dan batas terutamanya antara ibu dan anak perlu dijaga supaya dapat mengelakkan perbuatan sumbang mahram.
Kesimpulan, ibu bapa seharusnya sedar akan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar serta menunjukkan akhlak baik.