MANCHESTER – Beraksi tanpa kelibat beberapa pemain utama langsung tidak memberi masalah buat Manchester City ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Watford pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) di Stadium Etihad awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, The Citizens memastikan mereka meneruskan kemaraan ke pusingan keempat menerusi dua jaringan Jeremy Doku dan Matheus Nunes, manakala gol pasukan pelawat dijaringkan Tom Ince.
Pasukan itu masih lagi dibelenggu dengan berita sedih apabila pemain tengah berpengaruh, Rodri mungkin terpaksa diketepikan sehingga habis musim selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).
Bagaimanapun, pengurus City, Pep Guardiola memberi jaminan beliau akan melakukan segala-galanya bagi memastikan pasukan itu sentiasa mencatat kemenangan meskipun tanpa kehadiran Rodri.
“Belum ada jawapan mengenai kecederaan Rodri, mungkin dia terpaksa berehat untuk tempoh yang panjang tetapi ada juga yang berpendapat ia tidak memerlukan masa terlalu lama sebelum dia kembali bermain.
“Ini bukanlah sesuatu yang kami mahukan tetapi saya yakin City akan mengharungi musim cemerlang. Rodri memang sukar diganti tetapi saya akan cari jalan untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Pada masa sama, bekas jurulatih Barcelona itu sedang menunggu jawapan daripada doktor mengenai rawatan yang bakal diterima Rodri selain tempoh sebenar pemain Sepanyol itu akan diketepikan.
“Kami juga sedang menantikan panggilan daripada doktor mengenai apakah jenis pembedahan yang akan dilakukan ke atas Rodri. Buat masa ini, dia dalam keadaan tenang dan sedang menunggu keputusan,” jelas Guardiola. – AGENSI