LONDON – Chelsea meneruskan kemaraan ke pusingan keempat dalam saingan Piala Liga Inggeris (EFL) selepas membelasah pasukan kerdil, Barrow 5-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Meskipun melakukan 11 pertukaran pemain untuk perlawanan itu, namun The Blues masih mampu meledak lima gol menerusi hatrik Christopher Nkunku serta masing-masing satu gol Pedro Neto dan jaringan sendiri Paul Farman.
Pengurus Chelsea, Enzo Maresca menghamburkan pujian terhadap aksi ditampilkan barisan pemainnya kerana masih mampu mengekalkan rentak cemerlang biarpun menukar sepenuhnya kesebelasan utama.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan serta prestasi ditampilkan semua pemain. Kami melakukan banyak pertukaran tetapi pemain-pemain masih mampu beraksi dengan perancangan yang ditetapkan.
“Ini akan menjadi sasaran kami dalam setiap perlawanan, iaitu untuk sentiasa menampilkan identiti tersendiri tidak kira pemain mana yang diturunkan. kami perlu pastikan ia dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya.
Bekas pengendali Leicester City itu juga pada awalnya mengakui bimbang dengan perlawanan tersebut kerana menganggap pasukan-pasukan seperti Barrow mampu untuk melakar kejutan dalam kejohanan seperti itu.
“Saya sebenarnya bimbang dengan perlawanan-perlawanan seperti ini kerana kadang-kadang ia mampu memerangkap pasukan seperti Chelsea. Jika anda pandang rendah pasukan lain, anda akan dihukum,” ujar Maresca. – AGENSI