MADRID – Pemenang Ballon d’Or 2024 seakan sudah diketahui umum walaupun majlis penganugerahan tertinggi itu hanya akan dilangsungkan di Theatre du Chatelet, Paris pada 28 Oktober nanti.
Akhbar Sepanyol, Marca melaporkan bintang Real Madrid dan Brazil, Vinicius Junior dijangka menjadi pemenang Ballon d’Or kali ini yang pertama kali tanpa kehadiran Cristiano Ronaldo dan Lionel Messibuat kali pertama dalam tempoh 21 tahun sejak 2003.
Difahamkan, pemain sayap lincah itu telah dimaklumkan mengatakan dia berjaya menewaskan rakan sepasukannya di Real, Jude Bellingham dan tonggak Manchester City, Rodri dalam senarai tiga teratas.
Disebabkan itu, penaja but Vinicius, Nike dikatakan merancang memberikan satu penghormatan dengan menempah kasut bola emas untuk dipakai oleh pemain berusia 24 tahun berkenaan beberapa hari selepas tamat majlis berprestij tersebut.
Bukan itu sahaja, Nike juga berhasrat untuk membuka semula kedai besar mereka yang diberi nama Gran Via terletak di Madrid dua hari selepas tamat majlis Ballon d’Or.
Vinicius akan diserikan dengan paparan emas istimewa bersama Cristiano Ronaldo yang memenangi empat daripada lima Bola Emas ketika menyarung jersi Real sebelum ini.
Biarpun maklumat pemenang sudah bocor tetapi ramai pemerhati bola sepak merasakan Vinicius berhak untuk meraihnya berdasarkan pencapaian hebatnya membantu Real menjuarai La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu.
Vinicius sendiri turut meledak satu gol sewaktu aksi final UCL menewaskan Borussia Dortmund dengan keseluruhan telah menghasilkan 24 gol daripada 39 dalam semua kejohanan musim lalu. – AGENSI