KOTA BHARU – Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menggunakan seterika, Isnin lalu.
Tertuduh, Mohd. Nurhakiman Mohd. Nasir, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya dengan menggunakan seterika di sebuah rumah di Kampung Rambutan Rendang di sini kira-kira pukul 7.30 pagi pada 23 September lalu.
Mohd. Nurhakiman didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dua kali ganda dari tempoh itu atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan memandangkan tertuduh masih suami kepada mangsa dan tinggal dalam satu rumah, selain menetapkan 29 Oktober depan untuk sebutan semula kes, lantikan peguam serta serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE