fbpx

Bekas kerani didenda RM20,000 guna cek sekolah buat tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Seorang bekas pembantu tadbir kanan sebuah sekolah di negeri ini didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana memalsukan dokumen perolehan kepada syarikat milik anaknya berjumlah RM15,221.04, empat tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Nor Rafidah Ab. Kadir, 54, sejurus 10 pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang juga ibu tunggal didapati telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen milik Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Yok Bin, Bukit Serindit berjumlah RM15,221.04 yang mempunyai sebab untuk tertuduh mempercayai dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan menggunakan 10 nombor cek berbeza di Bank RHB Cawangan Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah antara 19 Oktober dan 23 November 2020.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebagai Pembantu Tadbir Gred N22 telah mengeluarkan cek bayaran Maybank milik sekolah berkenaan bagi bayaran kepada syarikat anaknya, Amielyana Enterprise dengan meniru tandatangan milik penandatangan cek.

Tindakan tertuduh itu bertujuan untuk mendapatkan bayaran tanpa mengikut prosedur perolehan bekalan atau perkhidmatan yang telah ditetapkan menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) bagi transaksi pemindahan wang milik sekolah.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fatin Nur Athirah Zainudin mencadangkan hukuman setimpal mengambil kira kekerapan kesalahan dilakukan serta sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda dengan alasan masih berkhidmat di Unit Rendah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka selain menanggung anak yang masih bersekolah dan seorang lagi bakal berkahwin bulan depan.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh didenda RM20,000 bagi semua 10 pertuduhan pilihan atau 30 bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI