fbpx

972 pesawah rugi RM13.5 juta akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahfuz (tiga kanan) hari ini meninjau keadaan sawah yang rosak akibat banjir di Kampung Paya Tok Teh, Jitra. Foto oleh SHAHIR NOORDIN

JITRA – Seramai 972 petani yang mengusahakan sawah dalam wilayah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di negeri ini mengalami kerugian kira-kira RM13.5 juta akibat banjir, baru-baru ini.

Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar berkata, semakan setakat ini mendapati terdapat lebih 1,500 hektar kawasan sawah di wilayah tersebut terkesan akibat banjir.

Lebih menyedihkan katanya, kebanyakan padi di kawasan sawah terjejas hanya menunggu hari untuk dituai.

“Angka itu merupakan anggaran semata-mata belum diperincikan kementerian melalui banci. Kebanyakan padi sudah mencapai ‘umur’ boleh dituai iaitu antara 85 hingga 100 hari kecuali di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Ketil yang mana usia padinya baru mencecah 14 hari.

“Tinjauan saya sendiri mendapati padi-padi itu kebanyakannya rosak. Ada juga padinya nampak elok tetapi tiada isi kerana air menenggelami sawah diusahakan mereka,” katanya ketika menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kepada petani yang terjejas akibat banjir dalam PPK Asun, di Kampung Paya Tok Teh dekat sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan petani juga didapati berada dalam dilema kerana perlu membayar upah mesin jentuai bagi menuai padi yang rosak.

“Apabila sampai ke kilang pula, pasti ada potongan harga melalui pemeriksaan mutu atau kualiti padi. Jadi berapa sangatlah wang yang akan mereka peroleh?” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, PPK Asun merupakan antara kawasan yang teruk terjejas melibatkan 20 daripada keseluruhan 27 unit PPK, berkeluasan 367 hektar.

“Keseluruhannya di kawasan ini terdapat 189 pesawah terjejas. Sayangnya lokasi ini merupakan antara kawasan yang mampu mengeluarkan hasil tinggi di Kedah dengan setiap relung (0.3 hektar) mampu menghasilkan 1.8 tan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut mengharapkan agar petani memberi kerjasama terhadap banci dijalankan pihak kementerian bagi membolehkan mereka menerima setiap bantuan yang akan diberikan kerajaan selepas ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI