SHAH ALAM – Kumpulan nasyid tersohor, Rabbani mengakui sebelum ini pernah menjadi pelajar dan kumpulan nasyid di bawah gerakan Darul Al-Arqam yang dikenali sebagai NadaMurni sekitar tahun 1980-an.
Bagaimanapun, kata salah seorang ahli Rabbani, Mohd. Asri Ubaidullah, perkara itu sudah lama berlaku dan mereka juga sudah tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan gerakan itu sejak diharamkan kira-kira 30 tahun yang lalu.
“Ya memang kami pernah menjadi pelajar di bawah gerakan Darul Al-Arqam. Kami juga mempunyai kumpulan nasyid yang diberi nama NadaMurni.
“Selepas Al-Arqam diharamkan 30 tahun yang lalu, kami berpecah dan duduk dengan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert 5 Rukun 2.0, di sini, kelmarin.
Sementara itu, seorang lagi anggota Rabbani, Azadan Aziz menjelaskan, apa yang berlaku di dalam gerakan Al-Arqam satu ketika dahulu jauh berbeza dengan ajaran dan tindakan yang dilakukan Global Ikhwan Sdn. Bhd (GISBH).
“Apa yang berlaku dalam Al-Arqam dulu 80 hingga 90 peratus tidak sama dengan apa yang berlaku dalam GISBH ketika ini.
“Dulu banyak sangat kebaikan dan pada peringkat awal itu okey saja. Dari segi pengajian, ekonominya memang okey.
“Tapi apabila dah mula GISBH itu, saya secara peribadi dah tak boleh terima. Mereka salam dengan kita pun tak mahu sebab mereka anggap musuh. Itu dah salah,” katanya.
Azadan juga menasihatkan masyarakat supaya tidak meminggirkan mereka yang sudah berjaya keluar dari kelompok ajaran sesat itu kerana itu akan menjauhkan mereka daripada hidup bermasyarakat.
“Kami punya cara, raikan semua orang sebab dah berhadapan dengan semua orang. Sampai satu peringkat, kami pergi sahaja makan di kedai mereka sebab kami rasa mereka saudara kami.
“Jangan sisihkan mereka sebab mereka perlukan sokongan kita. Untuk rakan-rakan dalam GISBH, bila dah keluar nanti jangan segan silu untuk mulakan dari awal. Kembali kepada asas agama yang betul,” katanya.
Ditanya bagaimana dengan kehidupan mereka selepas pengharaman gerakan itu, Asri berkata mereka perlu menyertai program pemulihan akidah serta dipantau oleh pihak berkuasa dan keselamatan.
“Kami dipantau pihak keselamatan dan perlu sertai program pemulihan akidah.
“Melalui pemantauan itu, kami mula sedar bahawa kami ini adalah milik masyarakat di mana mereka perlukan kami untuk berkongsi bermacam-macam perkara,” kongsinya.
Asri turut menitipkan pesanan kepada masyarakat agar menuntut ilmu agama bersama guru yang betul bagi memastikan akidah dan pendirian terhadap agama tidak mudah terpesong.
“Nasihat saya adalah kita perlu belajar dengan guru yang ramai serta guru yang betul.
“Kalau kita tak belajar dengan guru yang betul itu yang akan membuatkan kita terpesong dan tersilap. Carilah guru yang ramai dan yang betul, insya-Allah jalan kita betul,” pesannya.
Terdahulu, tular hantaran dalam media sosial dakwaan mengenai beberapa ahli kumpulan nasyid terkenal yang pernah menyertai kumpulan NadaMurni di bawah Darul Al-Arqam sebelum gerakan itu diharamkan 30 tahun lalu.
Selepas pengharaman gerakan itu, ahli kumpulan ini kemudiannya didakwa berpecah dan menyertai kumpulan nasyid terkenal Malaysia seperti Rabbani, Hijjaz dan Raihan. – KOSMO! ONLINE