PETALING JAYA – Seorang pemandu warga tempatan menolak bayaran tambang daripada penumpangnya selepas dia mengetahui pemuda tersebut berasal dari Gaza, Palestin.
Video pemandu rakyat Malaysia enggan menerima bayaran itu tular di media sosial selepas pemuda Palestin dikenali sebagai Anas Oglu memuat naik hantaran di Instagramnya baru-baru ini.
“Pemandu Malaysia enggan mengambil wang daripada saya selepas dia mengetahui saya dari Gaza dan juga orang Palestin,” katanya pada kapsyen.
Menerusi video tersebut, lelaki itu beberapa kali menolak pemberian wang daripada Anas sekali gus menyebabkan pemuda tersebut kelihatan serba salah.
“Tidak, tidak, tidak… awak simpan duit itu. Saya berikan pada awak, saya bayarkan untuk awak. Jangan risau, kita kawan.
“Kita muslim dan saya harap awak seronok dengan kebebasan dan selamat di sini,” kata pemandu tersebut.
Berikutan itu, pengguna media sosial termasuk rakyat Malaysia turut memuji tindakan pemandu tersebut selain mengalu-alukan kedatangan Anas ke Malaysia.
“Orang-orang Palestin adalah saudara kami. Selamat datang ke Malaysia,” komen seorang pengguna.
“Selamat datang ke Malaysia Anas. Jadikan Malaysia rumah kedua, kami sayangkan Palestin dan sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan,” kata individu lain.
Difahamkan Anas merupakan pengamal media di Gaza serta tiba di Malaysia baru-baru ini selepas berjaya keluar dari negaranya. – KOSMO! ONLINE