fbpx

[VIDEO] Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini membuat permohonan ampun secara terbuka kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Permohonan ampun Menteri Besar tersebut berkaitan kenyataan beliau pada 11 Julai tahun lalu di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor yang didakwa menghina Sultan Selangor.

“Patik, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam daerah Gombak, Selangor seperti mana yang dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati DYMM Tuanku.

“Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan DYMM,” katanya ketika membacakan permohonan maaf itu pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Ia adalah permohonan ampun pertama Menteri Besar tersebut yang dibuat secara terbuka.

Muhammad Sanusi menambah, beliau menzahirkan rasa kesal atas perkara negatif yang timbul akibat kenyataannya itu.

“Patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut. Patik ingin menyembah maklum kepada DYMM Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan DYMM Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini.

“Patik sedar apabila patik hadir ke negeri orang khususnya berkaitan kes patik ini apabila berada di negeri Selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti mana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga dengan penuh rasa insaf dan rendah diri memohon beribu keampunan kepada Sultan Selangor termasuk Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-katanya itu.

“Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja. Sekian, menjunjung kasih Tuanku. Patik pacal yang hina,” katanya.

Pada 29 Februari lalu, Muhammad Sanusi mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas dua tuduhan menyebut perkataan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara Kampung Bendahara, Gombak pada pukul 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) merangkap Ketua Jabatan Pilihan Raya Pas didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI