KOTA BHARU – Seorang remaja lelaki yang dipercayai tertekan akibat putus cinta sempat diselamatkan oleh orang awam daripada terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong di sini hari ini.
Mangsa yang berusia 18 tahun itu diselamatkan oleh pemandu lori yang melalui jambatan tersebut kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Kakak mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Farah, 21, berkata, adiknya yang putus cinta beberapa bulan lalu keluar dari rumah kira-kira pukul 8 pagi dengan menunggang motosikal Modenas Kriss.
Menurutnya, remaja itu memaklumkan dia mahu keluar membeli nasi berlauk di kedai berdekatan.
“Selepas menunggu hampir dua jam, dia tidak pulang ke rumah. Saya terpaksa meminta pertolongan seorang lagi adik untuk menghantar ke tempat kerja kerana motosikal yang ditunggangnya ke jambatan itu milik saya.
“Pada masa sama, saya bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini berlaku kepadanya kerana dia kebiasaannya tidak keluar lama,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Machang Bubuk, Peringat, di sini hari ini.
Katanya, adik lelakinya itu sebelum ini mempunyai teman wanita, tetapi sudah berputus cinta sejak beberapa bulan lalu.
“Adik saya sebelum ini mahu berbaik semula dengan kekasihnya, namun remaja perempuan itu menolak. Dia terlalu tertekan dan saya banyak menasihatkannya agar tidak melakukan perkara di luar batasan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE