JEMPOL – Seorang pesara guru berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM138,800 lesap selepas terpedaya individu menyamar pegawai polis dengan gelaran Asisten Superintendan (ASP) Datok Yusri bin Hasan Basri, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mangsa iaitu wanita berusia 68 tahun tampil membuat laporan di Balai Polis Bahau, kira-kira pukul 3 petang semalam selepas menyedari terpedaya dengan sindiket ‘phone scam’.
Menurutnya, mangsa telah menerima panggilan telefon kira-kira 9.30 pagi, 27 Ogos lalu daripada individu menyamar sebagai pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan nama Maliza dan dimaklumkan dia telah membuat pendaftaran ubahsuai meter elektrik di kawasan Kuantan, Pahang.
“Mangsa menafikan ada membuat pendaftaran tersebut dan kemudiannya panggilannya disambung kepada anggota polis bernama Fazli dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dan dimaklumkan kad pengenalannya antara salah satu daripada 200 kad pengenalan yang ditemui di satu alamat di Pahang.
“Panggilan itu kemudiannya disambung kepada ASP Datuk Yusri bin Hasan Basri untuk semakan kewangan mangsa dan kemudiannya mangsa diminta untuk membuat pindahan keseemua wangnya ke dalam akaun bank bagi audit untuk memastikan simpanan wang bersih dan tidak terlibat dengan pengubahan wang haram,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, mangsa telah mempercayai ahli sindiket berkenaan lalu membuat pindahan wang secara berperingkat sebanyak RM138,800 ke dalam beberapa akaun yang diberi oleh pemanggil tersebut.
“Mangsa yang merasa curiga telah berhubung dengan IPK Pahang untuk menanyakan permasalahan ini dan IPK Pahang menyatakan bahawa mangsa telah ditipu serta disarankan untuk membuat laporan polis.-KOSMO! ONLINE