KUALA LUMPUR – Pegangan yang dibawa pengikut GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) adalah terlalu taasub dan mendewakan pemimpin mereka sehingga memutarkan ajaran Islam yang sebenar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, itu dapatan pihaknya terhadap siasatan GISBH yang mana mendapati kaedah perniagaan mereka telah dimudah cara dengan pegangan Aurad Muhammadiah versi mereka.
Katanya, proses ini mirip seperti indoktrinasi yang dipercayai menjadi nilai kehidupan yang dipercayai dianuti sepenuh hati pengikut-pengikutnya.
“Doktrin ini sangat berbahaya kepada keselamatan negara khususnya ajaran agama Islam di negara ini. Ini kerana kebajikan serta masa depan pengikut-pengikutnya yang bergantung sepenuhnya kepada pemimpin-pemimpin mereka sahaja,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis telah memperoleh lanjutan reman bagi siasatan terhadap ahli GISBH berkait Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 September ini.
Kata beliau, ia melibatkan 24 ahli termasuk individu yang memegang jawatan tertinggi GISBH.
“Dalam pada itu, berdasarkan kepada keterangan diperoleh, sebanyak 34 tahanan telah selesai menjalani tempoh reman dan akan ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) manakala seramai 126 orang tahanan dibebaskan dengan jaminan setelah selesai tempoh reman,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.