GOMBAK – Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur memerintahkan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof membayar kos kehadiran sebanyak RM200 kepada bekas isterinya, Ira Kazar.
Perkara itu diputuskan Hakim Maizatul Aliza Chee Din pada prosiding yang berlangsung pada hari ini.
Menurut peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak, pihaknya memohon kos kehadiran sebanyak RM3,000 kerana menyusahkan defendan iaitu Ira dan plaintif (Syamsul) tidak berterus-terang kerana wujudnya lafaz taklik di luar mahkamah pada Jun lalu.
“Kes hari ini sudah selesai, kami hadir untuk tutup terus kes permohonan cerai yang difailkan Syamsul.
“Kes yang difailkan Ira sudah selesai pada 5 September lalu dan hari ini pihak Syamsul mahu menarik balik permohonan.
“Mahkamah sudah meluluskan dan memerintahkan kos sebanyak RM200 diberikan. Cuma saya ingin menyatakan di sini saya kesal lafaz cerai sudah berlaku pada Jun tetapi tindakan diambil pada Ogos bukan merujuk pada pengesahan lafaz cerai sebaliknya merujuk kepada permohonan cerai biasa.
“Sebab itu kami failkan di Kuala Selangor. Ini kerana kalau Syamsul tidak failkan, Ira yang kena failkan. Berikutan itu ramai yang keliru. Jadi disebabkan itu hari pihak Syamsul menarik balik kes dan tutup terus,” katanya.
Sementara itu, peguam mewakili Syamsul iaitu Azmi Mohd Aris memberitahu, pihaknya tidak bersetuju dengan kos kehadiran yang dituntut defendan sebanyak RM3,000 kerana menyifatkan proses perceraian yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada 5 September lalu menjimatkan masa semua pihak.
“Sepatutnya hari ini pihak kami ingin menarik semula permohonan membabitkan tuntutan perceraian dengan kebenaran mahkamah di bawah seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) yang difailkan Syamsul pada 19 Ogos lalu.
“Pihak saya juga sudah memfailkan notis penarikan semula kes yang difailkan. Bagaimanapun Ira yang hadir bersama peguam memohon kos kehadiran sebanyak RM3,000 kepada mahkamah.
“Bagi saya, apa penting sekarang ini adalah kedua-dua pihak sudah ke Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor untuk menyelesaikan isu pelanggaran taklik pada hari sama dan menerima keputusan itu.
“Jadi kami percaya sedikit sebanyak perkara itu sudah menjimatkan masa dan kos kedua-dua pihak,”katanya.
Pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh Syamsul Yusof terhadap Ira Kazar ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.
Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu.
Peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata, mahkamah mengesahkan berlakunya lafaz taklik dan sekali gus jatuh talak satu.
Pada 19 Ogos lalu, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.
Terdahulu, Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand. – KOSMO! ONLINE