SHAH ALAM – Tiada niat melafazkan cerai, pelakon Fattah Amin masih berharap ada sinar untuk menyelamatkan rumah tangga dengan isteri, Nur Fazura.
Mengakui tetap menyayangi suri hatinya itu, Fattah atau nama lengkapnya Abdul Fattah Mohd Amin, 33, turut meminta semua pihak tiudak berhenti mendoakan kesejahteraan perkahwinan mereka.
“Saya memohon orang ramai terus mendoakan yang terbaik. Saya berpegang dengan kenyataan saya sebelum ini, masih menyayangi Fazura.
“Tidak terjadi perkara itu (melafazkan talak) hari ini,” katanya ketika ditemui selepas sebutan kes permohonan cerai yang difailkan Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor, pagi tadi.
Tambah pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu, dia juga reda berdepan segala ujian yang melanda rumah tangganya apabila menganggap semuanya ketentuan Allah.
“Apa yang terjadi sudah takdir Ilahi. Tiga perkara yang perlu yakin adalah jodoh, ajal dan rezeki.
“Semua itu Allah sudah atur dan tetapkan bagaimana jalannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fattah memaklumkan dia juga sempat berjumpa dengan anaknya, Nur Fatima pada Selasa.
“Semalam (Selasa) saya sempat berjumpa Fatima.
Diminta mengulas mengenai dakwaan berlaku curang dan bila kali terakhir menghubungi Fazura, Fattah bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.
Bahkan aktor terbabit juga tidak mahu menyentuh pertanyaan tempoh tidak sebumbung dengan Fazura.
Terdahulu, mahkamah meminta pasangan selebriti itu menyelesaikan konflik rumah tangga mereka di luar mahkamah sebelum tarikh sebutan semula pada 7 Oktober depan.
Pada 13 September lalu, aktres terbabit hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor bagi memfailkan cerai terhadap suami, aktor Fattah Amin.
Bagaimanapun, Fattah memaklumkan terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Fattah berkata, masih menyayangi Fazura dan menegaskan tiada wanita lain yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.
Sementara itu, Fazura pula memilih mengunci mulut mengenai perceraian yang difailkan itu.
Imbas kembali, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun. – KOSMO! ONLINE