fbpx

Malaysia gesa UNSC tindak segera, hentikan serangan di Palestin, Lubnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. Foto AFP

PUTRAJAYA – Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam rejim Israel yang sedang berlaku di Palestin dan Lubnan bagi melindungi orang awam.

Kementerian Luar berkata, masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama dengan segera.

Tegas Wisma Putra, dalam hal ini Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini.

“Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini.

“Memandangkan keadaan yang semakin meruncing, kami menggesa semua rakyat Malaysia di Lubnan supaya membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara berkenaan secara sukarela.

“Warganegara Malaysia juga diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di Lubnan kembali stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia pada masa sama mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh rejim Zionis di Lubnan yang mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang.

Jelasnya, serangan ini juga menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Jelas Wisma Putra, tindakan keganasan ini tidak seharusnya disokong oleh masyarakat antarabangsa kerana ia melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan.

“Operasi ketenteraan Israel bukan sahaja akan meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran dan serta masyarakat antarabangsa.

“Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di hadapan mata masyarakat antarabangsa, sama sekali tidak dapat diterima,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI