fbpx

Lapan Sekolah Islam GISBH ditutup, batal pendaftaran di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Lapan buah sekolah milik GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH) dan rangkaiannya di Selangor diarah tutup serta merta dan dibatalkan pendaftarannya.

Kesemua sekolah itu didaftarkan sebagai Sekolah Islam Persendirian di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (EPSAI 1988).

Ia melibatkan Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly, Sepang; Sekolah Rendah Islam Miftahul Hikmah, Klang; Sekolah Menengah Islam Global Ikhwan (Banat), Rawang dan Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 2, Puchong.

Turut terlibat, Sekolah Menengah Islam Zadut Taqwa 1, Shah Alam; Sekolah Rendah Islam Yaqutul Fuad, Rawang; Sekolah Rendah Islam Integrasi Bustanul Ikhwani, Rawang dan Sekolah Rendah Islam Integrasi Qurratul Ain, Sepang.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, mesyuarat khas dijalankan semalam bagi membincangkan tindakan diambil pihaknya dan agensi hal ehwal Islam di negeri ini berhubung isu GISBH.

Jelas beliau, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melaksanakan pemeriksaan dan siasatan ke atas semua Sekolah Islam Persendirian yang didapati menyalahi peruntukan EPSAI 1988.

“Justeru, arahan penutupan semua sekolah Islam itu telah dikeluarkan mengikut Seksyen 25 enakmen itu pada 23 September lalu (kelmarin). Tindakan pembatalan pendaftaran sekolah Islam yang masih lagi berkuat kuasa juga akan dilaksanakan tertakluk kepada EPSAI,” katanya hari ini.

Menurut Abdul Aziz, pegawai penguat kuasa kuasa agama turut sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap individu yang dikenal pasti terlibat dengan GISBH dan rangkaiannya.

“Ia bagi kesalahan berhubung agama Islam di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Kertas siasatan tersebut akan dikemukakan kepada Ketua Pendakwa Syarie.

“Selain itu, kita akan mengambil alih pengurusan Masjid Cahaya Iman dan menutup Musolla Ikhwan di Kompleks GISBH yang kedua-duanya terletak di Bandar Country Homes Rawang,” katanya.

Tambah Abdul Aziz, pihaknya juga menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada MAIS, JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKM dan agensi yang berkaitan bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI