fbpx

KPT teruskan program pengecualian yuran IPT untuk pelajar B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mustapha (dua kanan) menandatangani plak sebagai tanda pembukaan Kolej LSBF di Kuala Lumpur hari ini. Foto M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan bantuan kepada pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan ataupun B40 melalui Program Sulung dengan memberi pengecualian yuran pengajian di universiti awam.

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, bagaimanapun, pengecualian itu hanya diberikan kepada wakil pertama dalam keluarga yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Menurutnya, ia susulan masih banyak pelajar yang cemerlang mempunyai masalah kewangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

“Banyak sebenarnya kaedah untuk golongan kurang berkemampuan ini seperti PTPTN, Mara serta yayasan negeri masing-masing yang memberi biasiswa atau pinjaman.

“Bagi golongan B40 ataupun mereka yang tersenarai dalam eKasih, jika anak pertama berjaya masuk universiti, mereka tidak perlu membayar yuran sepanjang pengajian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Kolej London School of Business and Finance (LSBF), di Jalan Hang Lekiu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha sekali lagi mengingatkan kepada pelajar dan keluarga yang kurang berkemampuan supaya tidak perlu risau mengenai bayaran yuran pendaftaran kemasukan ke universiti awam.

“Jika ada masalah untuk membayar yuran pendaftaran, datang sahaja ke universiti pilihan masing-masing. KPT sudah memberikan arahan supaya pihak universiti membenarkan mereka mendaftar dahulu.

“Jangan risau jika ada masalah kewangan. Daftar sahaja anak-anak dahulu tanpa membayar yuran pendaftaran,” jelasnya.

Sementara itu, Mustapha berkata, KPT sentiasa mengalu-alukan pembukaan kolej pertama LSBF di negara ini selari dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global.

“Dengan adanya institusi dari luar negera seperti LSBF, ia secara tidak langsung membuka ruang kepada generasi muda untuk belajar di kolej ini tanpa perlu pergi ke United Kingdom.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada LSBF atas pemberian biasiswa bernilai RM5 juta untuk golongan B40 di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak. Saya harap pelajar di seluruh negara mengambil peluang untuk mendaftar di kolej ini,” ujarnya.

Tambah Mustapha, biasiswa itu dapat memanfaatkan lebih 200 pelajar yang kurang berkemampuan dengan pengambilan pertama yang bakal dibuka pada Oktober depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI