PETALING JAYA – Nama pemain sensasi skuad bawah 19 (B-19) negara, Mohammad Haykal Danish mula mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air selepas tampil cemerlang pada kelayakan Piala Asia B-20 2025 ketika ini.
Haykal yang mewakili kelab Selangor FC menjadi tonggak penting skuad kebangsaan ketika mencipta kejutan dengan menewaskan Oman dan seri bertemu Korea Utara pada aksi Kumpulan E baru-baru ini.
Berdasarkan tinjauan Kosmo! dalam laman sosial, komen yang diberikan oleh peminat terhadap Haykal yang menyarung jersi No. 10 cukup positif.
“No 10.. hebat dia. Future talent,” kata Desmond Boon Chel-Kit.
“Produk AMD (Akademi Mokhtar Dahari) the best (terbaik).. 2 tahun lepas pun dia antara key player (pemain utama) waktu juara AFF U19,” kata Abu Aisyah.
Malah, ada yang menganggap Haykal seperti jelmaan pemain sayap sensasi skuad Gergasi Merah, Faisal Halim.
“The next Faisal Halim (pengganti Faisal Halim),” kata Dhia Putera.
“Haykal Danish. A prospect for Malaysian football (bintang masa depan bola sepak Malaysia),” kata nadiazulk4fl1.
Skuad B-19 negara akan mengharungi aksi ketiga kelayakan Kumpulan E dengan menentang tuan rumah, Tajikistan di Stadium Republican Central, Dushanbe pada Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE