JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menemui beberapa keping gambar bekas pemimpin Al-Arqam dalam serbuan di lima premis yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, gambar itu ditemui di pusat kebajikan kanak-kanak dan premis institusi pendidikan.
Katanya, gambar Abuya disyaki digunakan untuk pemujaan atau mengagung-agungkan pemimpin ajaran terbabit.
“Tindakan lanjut ke atas mereka ini akan mengambil masa sebab kita perlu kajian menyeluruh sama ada terkait Aurad Muhammadiah, jika ada tindakan lanjut akan diambil di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2003 (Negeri Johor).
“Penemuan gambar-gambar yang dilihat seolah-olah memuja atau pun masih lagi mengagung agungkan pemimpin lama mereka masih menjadi kebimbangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis minum petang bersama pembayar zakat perniagaan melibatkan 10 syarikat swasta berjumlah lebih RM937,000 di Hotel Grand Paragon, di sini hari ini.
Mohd. Fared berkata, kerajaan negeri sedang menjalankan siasatan sama ada akan mendakwa ahli GISBH sekiranya mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah, yang diamalkan oleh kumpulan al-Arqam.
Ujarnya, siasatan itu dibuat susulan penemuan buku-buku lama dan baharu dipercayai ada kaitan dengan Aurad Muhammadiah dalam serbuan di premis GISBH di lima daerah termasuk Kluang, Mersing, Segamat, Kota Tinggi dan Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE