SHAH ALAM – Pelakon Fattah Amin belum bersedia untuk bercerai dengan isterinya selebriti Fazura.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Zulkifli Che Yong yang mewakili Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, selepas prosiding kes di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini hari ini.
“Dalam mahkamah, pihak defendan (Fattah), menyatakan belum bersedia untuk bercerai secara baik.
“Insyaalah saya doakan kedua dua-dua belah pihak supaya selesai secara baik,” kata peguam itu.
Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, mengesahkan pihaknya ada menerima cadangan penyelesaian daripada pihak Fattah berkaitan dengan permohonan cerai yang difailkan Fazura.
“Kita baru dapat (cadangan) pagi ini, kita belum baca dan tidak sedia berbincang pada masa yang singkat,” kata Fakhrul.
Bagaimanapun cadangan penyelesaian secara baik itu tidak boleh didedahkan secara terpeinci.
Hakim Syarie Abdul Malik Soleh kemudian menetapkan 7 Oktober ini bagi mahkamah mengetahui status perbincangan penyelesaian secara baik tersebut. KOSMO! ONLINE