fbpx

EPL: City ‘hilang taring’ tanpa Rodri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RODRI (tengah) perlu menjalani proses pemulihan antara enam hingga sembilan bulan selepas menjalani pembedahan ACL. - B/R FOOTBALL

MANCHESTER – Peluang Manchester City untuk terus mencipta sejarah baharu dengan menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) buat musim kelima berturut-turut kali ini tampak sukar selepas kehilangan jeneral tengah, Rodri.

Rodri, 28, disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada lutut kanan ketika seri 2-2 dengan Arsenal dalam aksi EPL di Stadium Etihad pada Ahad lalu sekali gus memerlukan pemain tengah itu menjalani pembedahan.

Kapten Sepanyol itu dijangka terlepas baki saingan musim ini memandangkan tempoh pemulihan ACL kebiasaannya mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan.

Ia sememangnya satu tamparan besar buat City yang cuma kalah satu perlawanan bersama Rodri dalam semua kejohanan sepanjang tahun ini ketika tewas 1-2 kepada Manchester United pada final Piala FA di Wembley pada Mei lalu.

The Citizens juga merekodkan 74.1 peratus kemenangan dan hanya tewas 19 daripada keseluruhan 174 perlawanan apabila Rodri berada di atas padang.

Oleh itu, ketiadaan Rodri adalah satu kehilangan cukup besar buat City dan Guardiola yang kali terakhir tewas dalam saingan EPL kepada Tottenham Hotspur pada Februari 2023.

“Dia seorang pemain tengah yang cukup berpengaruh di atas padang. Dia mampu lakukan segala-galanya dan berpotensi untuk menang Ballon d’Or tahun ini.

“Saya tidak meragui bahawa dia adalah pembelian terbaik dalam sejarah kelab ini. Sukar untuk kami mencapai segala kejayaan ini tanpa kehadiran Rodri dan sekarang kami perlu mencari jalan,” kata Guardiola.

Difahamkan, Rodri cuma rehat 22 hari sepanjang musim 2023/2024 kerana selepas tamat tugasan domestik bersama City, bekas bintang Atletico Madrid itu turut membantu Sepanyol menjuarai Euro 2024 sekali gus dikatakan antara punca kecederaan ACL. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI