fbpx

Bunuh abang: Hubungan mangsa dan suspek baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurhidayah ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HRPB di Ipoh hari ini.

IPOH – Lelaki yang ditahan kerana disyaki membunuh abang kandungnya sebelum membakar kediaman keluarga mereka di Taman Muhibbah 2, Sitiawan awal pagi tadi mempunyai hubungan baik dengan mangsa.

Anak saudara lelaki itu, Nurhidayah Azahari, 23, berkata, kedua-dua bapa saudaranya itu mempunyai hubungan rapat dengan adik-beradik lain dan tidak pernah dilihat mempunyai masalah.

“Hubungan mereka biasa sahaja, rapat macam adik-beradik lain. Saya pun tak tahu kenapa semalam dia (suspek) jadi agresif dan baran secara tiba-tiba.

“Kali terakhir kami jumpa dia semalam dan ketika itu keadaannya biasa sahaja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainum (HRPB), di sini hari ini.

Menurut Nurhidayah, suspek berusia 39 tahun yang merupakan anak keempat daripada enam beradik itu mempunyai masalah kesihatan mental dan pernah menerima rawatan.

Bagaimanapun katanya, lelaki itu yang sepatutnya mengambil ubat bagi mengawal masalah mental yang dialaminya enggan lagi berbuat demikian.

“Dia ada terima rawatan dan ambil ubat tapi sekarang dia tak mahu makan. Saya pun tidak tahu kenapa, mungkin itu punca dia bertindak di luar kawalan,” katanya.

Menceritakan detik kejadian itu, Nurhidayah berkata, ketika kejadian dia dan ahli keluarga lain sedang tidur sebelum tersedar selepas melihat percikan api dari luar bilik.

Katanya, dia yang ketika itu panik segera mengejutkan ahli keluarga lain untuk menyelamatkan diri tanpa menyedari bahawa bapa saudaranya (mangsa) sedang tidur di ruang tamu.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, kami keluar ikut pintu belakang rumah. Ketika itu, kami fikir dia (mangsa) sudah keluar sehinggalah kebakaran dipadamkan, bomba memaklumkan terdapat seorang mangsa berada di ruang tamu,” katanya.

Tambahnya, mangsa yang merupakan anak kedua itu disifatkan seorang yang rajin dan gemar mengemas rumah namun dia dilihat bersikap berdiam diri sejak kebelakangan ini.

“Sebelum dia meninggal, dia sempat mengemas rumah dan memang sangat bersih. Kami semua sedih dan tidak sangka kejadian seperti ini boleh berlaku dalam keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI