SUNGAI PETANI – Polis menahan seorang wanita warga emas bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang pesara Felcra di Baling yang keretanya ditemui rentung di tapak pembuangan sampah di Hutan Gubir, Sik dekat sini dua hari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, suspek yang berusia 62 tahun itu ditahan untuk membolehkan pihaknya menyiasat lebih lanjut berkaitan penglibatan dengan kes itu berikutan penemuan transaksi kewangan membabitkan akaun milik mangsa.
“Kita tidak dapat memberi maklumat lanjut berkaitan suspek kerana masih melakukan siasatan lanjut tetapi berdasarkan perkembangan siasatan kita yakin dapat menyelesaikan kes ini secepat mungkin.
“Kita juga telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Baling dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kedah melakukan siasatan menyeluruh berkenaan kes kehilangan mangsa,” katanya pada sidang akhbar pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Narkotik dan Jabatan Siasatan Trafik Kedah di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.
Kata Fisol, perkembangan siasatan kes itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa supaya orang ramai juga dapat mengikutinya bagi mengelak spekulasi terhadap pihak polis yang didakwa lambat bertindak. – KOSMO! ONLINE