HULU TERENGGANU – Biarpun sudah dimamah usia, seorang wanita warga emas tetap gigih menerima tempahan menjahit telekung.
Che Melah Hassan,73, berkata, tempahan menjahit telekung diterimanya boleh mencecah 100 helai sebulan pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidilada.
“Saya yang mahir menjahit sejak muda mula menghasilkan telekung untuk kegunaan sendiri pada lebih 20 tahun lalu.
“Telekung itu menjadi perhatian ramai jemaah wanita yang berkenan sewaktu saya membawanya ke masjid sebelum mahu menempahnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Bading, Ajil di sini semalam.
Che Melah berkata, perusahaan telekungnya kemudiannya berkembang sehingga mendapat tempahan daripada pemborong dan organisasi.
Jelas nenek 16 cucu, tambah istimewa telekung itu dihasilkan menggunakan mesin jahit dibelinya secara ansuran ketika remaja dan kini sudah berusia lebih 50 tahun.
“Dahulu saya pernah menerima ratusan tempahan menjahit telekung setiap bulan,” ujarnya.
Che Melah berkata, dia tetap mahu terus menghasilkan telekung selagi hayat dikandung badan bagi mengisi masa terluang selain tidak mahu kemahiran menjahitnya ‘berkarat’.
Dia berkata, kebanyakan tempahan diterimanya kini daripada pelanggan lama yang setia.